Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini



KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021 serta Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri 2021 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) menambah baik laporan itu dengan menyediakan ringkasan penemuan audit secara infografik bagi merumuskan hasil pengauditan secara keseluruhannya.

“Persembahan secara infografik diharap dapat membantu pembaca mendapatkan maklumat penting hasil daripada pengauditan yang dijalankan secara cepat dan tepat.

“Pada hari pembentangan, JAN juga akan memberi taklimat berhubung dengan isu-isu utama penemuan audit yang dibangkitkan dalam laporan tersebut kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen,” katanya menerusi satu kenyataan.



Menurut beliau, LKAN kali ini mengandungi beberapa perkara penting antaranya Pengesahan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Bagi Tahun Berakhir 31 Dis 2021 yang menunjukkan satu gambaran benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan bagi tahun berkenaan.

“Rekod perakaunannya juga diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini. Bagaimanapun, Sijil Ketua Audit Negara mengandungi perenggan Penegasan Perkara antaranya terhadap perkara seperti terimaan pinjaman kasar pada 2021 berjumlah RM217.201 bilion (RM194.555 bilion pada 2020), iaitu meningkat RM22.646 bilion atau 11.6 peratus.

“Selain itu, sejumlah RM113.764 bilion atau 52.4 peratus daripada jumlah pinjaman kasar yang diperoleh pada 2021 telah digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang,” katanya dan menjelaskan penegasan perkara adalah penekanan sesuatu perkara asas yang pada pendapat juruaudit perlu diberi perhatian tanpa menjejaskan pendapat juruaudit.

Beliau turut memaklumkan pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion itu mengakibatkan peningkatan hutang Persekutuan kepada RM979.814 bilion atau 63.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun lepas.



Mengenai Analisis Prestasi Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021, Nik Azman berkata, antara dapatan ialah kerajaan Persekutuan memperoleh hasil berjumlah RM233.752 bilion bagi tahun lepas sekali gus menyaksikan peningkatan 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM225.075 bilion.

“Perbelanjaan mengurus berjumlah RM231.516 bilion, meningkat RM6.916 bilion atau 3.1 peratus berbanding 2020 yang berjumlah RM224.600 bilion.

“Lebihan hasil berjumlah RM2.236 bilion iaitu meningkat RM1.761 bilion berbanding 2020 yang berjumlah RM0.475 bilion. Lebihan ini telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan Covid-19 pula adalah sebanyak RM37.711 bilion pada tahun lepas iaitu penurunan sejumlah RM308.22 juta atau 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM38.019 bilion.



“Secara keseluruhannya, kerajaan Persekutuan mencatatkan defisit berjumlah RM98.740 bilion dengan nisbah 6.4 peratus kepada KDNK (RM87.645 bilion atau 6.2 peratus kepada KDNK pada 2020). Hutang Persekutuan pada 2021 pula berjumlah RM979.814 bilion dengan nisbah 63.4 peratus kepada KDNK.

Beliau berkata, bagi LKAN, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri 2021, sebanyak 13 penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 telah dikemukakan dalam tempoh yang dibenarkan iaitu antara Januari hingga April lepas.

“Pengauditan yang dijalankan mendapati penyata kewangan bagi Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu telah diberikan Sijil Audit dengan Pendapat Tanpa Teguran. Sebanyak tujuh negeri diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-Hal Lain (Johor, Melaka, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak).

“Kedah pula diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-Hal Lain dan Penegasan Perkara,” katanya dan menambah LKAN Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021 akan dimuat naik dalam laman web JAN selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.



Sementara itu, LKAN peringkat negeri yang melibatkan 13 negeri hanya akan dimuat naik di laman sesawang JAN selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing. – BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker