Lebih separuh pekerja di Malaysia ada dua pekerjaan

PETALING JAYA – Lebih separuh atau 66 peratus daripada pekerja berpengetahuan di negara ini mengambil kerja sampingan sebagai jalan penyelesaian untuk mengurangkan tekanan kewangan didorong oleh kos sara hidup yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi yang berterusan.

Employment Hero dalam kajian terbaharunya mendapati, Malaysia mencatatkan kadar tertinggi antara negara-negara yang dikaji iaitu Singapura pada 56 peratus, Australia (51 peratus), New Zealand (51 peratus) dan United Kingdom (38 peratus).

Menurut Laporan Bekerja Di Mana Sahaja 2022, mereka meninjau lebih 1,000 pekerja berpengetahuan Malaysia meliputi Gen Z dan Milenial berumur 18 hingga 35 tahun yang merupakan pemacu utama trend ini.

Katanya, sebanyak 49 peratus daripada mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun serta 42 peratus dalam kalangan berumur 25 hingga 34 tahun mempunyai pekerjaan kedua atau mengusahakan perniagaan sendiri.

“Secara keseluruhan, mereka yang mempunyai aliran pendapatan tambahan melihat perkara tersebut sebagai positif, dengan 77 peratus mengatakan ia telah meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara.

“Sebanyak 78 peratus juga percaya produktiviti mereka di tempat kerja tidak terjejas dengan mempunyai aliran pendapatan lain,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 38 peratus daripada mereka yang dapat bekerja untuk pendapatan sekunder semasa waktu bekerja adalah disebabkan fleksibiliti kerana mereka boleh bekerja di mana sahaja atau dalam persekitaran hibrid,” katanya.

Tambahnya, walaupun kebanyakan pekerja bekerja di mana sahaja atau secara hibrid dari 2020 dan 2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peralihan kepada ‘normal’ selepas pandemik menyaksikan lebih separuh daripada tenaga kerja atau 55 peratus kembali ke pejabat sepenuh masa pada 2022.

“Daripada jumlah ini, 43 peratus menyatakan pemulangan mereka adalah disebabkan arahan majikan mereka. Walau bagaimanapun, 88 peratus pekerja Malaysia berminat untuk bekerja di mana sahaja sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Trend ini diterajui oleh Gen Z, dengan 93 peratus daripada mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun lebih suka bekerja di mana sahaja sekurang-kurangnya satu hari seminggu,” jelasnya.

Ketua Pegawai Insan Employment Hero, Alex Hattingh berkata, daripada semua negara yang dikaji dalam laporannya, rakyat Malaysia menyerlah dengan melihat sumber pendapatan kedua sebagai positif, malah penting, sebagai tambahan kepada kehidupan mereka.

“Ia mencerminkan kesanggupan mereka mengambil cabaran dan menunjukkan keupayaan untuk mengimbangi pelbagai tanggungjawab tanpa menjejaskan produktiviti di tempat kerja.

“Majikan perlu bijak untuk ingat dan mengambil kira perkara ini terutamanya apabila berurusan dengan generasi lebih muda di tempat kerja.

“Ini adalah generasi bakat muda, rajin yang tidak gentar untuk berhenti dan mencari peluang lain lebih fleksibel seandainya majikan mendesak mereka kembali kepada corak kerja lama yang tidak lagi sepadan dengan keperluan mereka,” jelasnya.

© Utusan Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker