Sejuta akaun e-mel di Malaysia diceroboh tahun lalu

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan sehingga sejuta akaun e-mel diceroboh pada 2022 berbanding 2.8 juta akaun pada 2021, penurunan sebanyak 64 peratus, demikian menurut data pembangun perisian perlindungan, Surfshark.

Meskipun jumlah e-mel yang diceroboh mencatatkan penurunan, Malaysia meningkat empat anak tangga, daripada tempat ke-31 kepada kedudukan ke-27.

Sebahagian besar, atau 13,700 e-mel di Malaysia hilang semasa pencerobohan ClickASnap yang berlaku pada September lalu.

Data global daripada statistik Surfshark menunjukkan lebih 310 juta pengguna internet diceroboh pada 2022, berbanding 959 juta yang dicatatkan pada 2021.

Laporan tahunan itu meletakkan Russia negara paling banyak akaun diceroboh (104.8 juta), diikuti oleh China (34 juta), Amerika Syarikat (23.5 juta), Perancis (20.1 juta) dan Indonesia (14.7 juta).

Lima negara paling banyak diceroboh itu merangkumi hampir dua pertiga daripada keseluruhan akaun yang diceroboh pada 2022.

Ketua Penyelidik Surfshark, Agneska Sablovskaja, berkata setiap saat pada 2022, seramai 10 pengguna internet kehilangan data mereka.

“Walaupun angka ini kekal membimbangkan, kami gembira melaporkan bahawa terdapat penurunan besar global sebanyak 68 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Beberapa negara termasuk AS, India dan Brazli, berjaya menambah baik situasi di negara masing-masing dengan ketara, sebaliknya Indonesia, China dan Russia mengalami lonjakan terbesar pencerobohan data dalam tempoh setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun majoriti negara di seluruh dunia menunjukkan penambahbaikan, negara yang mencatatkan kenaikan tertinggi adalah Indonesia (269 peratus), Sri Lanka (204 peratus), Russia (191 peratus), Uzbekistan (73 peratus) dan China (45 peratus).

Separuh daripada pencerobohan data pada 2022, atau 153.3 juta berlaku dalam kalangan akaun e-mel di Eropah.

Lambakan pencerobohan data yang berlaku di Russia meletakkan Eropah di tempat teratas ranking mengikut benua.

Sementara itu, Asia merangkumi satu perempat daripada keseluruhan pencerbohan data di dunia dengan 74.2 juta, kebanyakannya adalah dari China, Indonesia dan India.

Peta Pencerobohan Data dibangunkan dengan kerjasama penyelidikan keselamatan siber bebas, yang mengumpulkan data pengguna daripada 27,000 pangkalan data diceroboh dalam talian.

Penyelidik kemudiannya membahagikan kombinasi berdasarkan titik data khusus seperti negara dan membuat analisis statistik berdasarkan dapatan mereka.

Lokasi pengguna dikenalpasti menerusi e-mel atau nama domain laman web, negara, bandar, koordinat, alamat IP, lokasi, mata wang atau nombor telefon.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker