Menteri Bersatu dan PAS utus surat pada Agong bantah PRU15

KUALA LUMPUR – Anggota Kabinet Bersatu dan Pas dilaporkan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah gesaan pemimpin UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum lebih awal tahun ini.

Lapor portal MalaysiaNow, 12 menteri daripada kedua-dua parti itu dari gabungan Perikatan Nasional (PN) menandatangani surat bertarikh 3 Oktober kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi menunjukkan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen.

Dilaporkan, surat yang diterima Istana semalam, antara lain memetik ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negeri-negeri di Malaysia terutama di pantai timur.

Selain itu, surat itu turut memaklumkan mengenai tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.

Selain PN, gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) juga turut membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk mengadakan PRU15 lebih awal.

Tegas mereka, tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi selepas pandemik, selain persediaan menghadapi banjir tahunan.

Penggal Parlimen ke-15 dijadualkan tamat pertengahan tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Pertemuan itu bakal menjawab sama ada ia rutin biasa bagi menyembah maklum keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet termasuk Bajet 2023, atau pun turut mempersembahkan tarikh pembubaran Parlimen kepada Baginda.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker