Polis mungkin gali semula kubur warga emas

KULIM – Kubur seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia dalam rumahnya di sebuah kampung di Serdang dekat sini, dijangka digali semula esok.

Ia berikutan anak wanita berusia 79 tahun itu mengesyaki ibunya menjadi mangsa jenayah selepas gelang dan dua cincin emas serta telefon bimbit arwah didapati hilang.

Menurut sumber, anak mangsa mendakwa melihat kesan tompokan darah pada cadar dan lampin dipakai ibunya selepas membuat pemeriksaan lanjut.



“Anak mangsa turut diberitahu ada kesan lebam di kanan badan dan telinga serta luka di hidung jenazah ibunya ketika dimandikan.

“Berikutan itu, anak mangsa membuat laporan polis selepas mengesyaki ibunya kemungkinan menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Susulan laporan anak mangsa, polis dikatakan mengeluarkan permit untuk menggali semula kubur wanita terbabit esok bagi tujuan bedah siasat.

Isnin lalu, mangsa ditemukan oleh anak saudaranya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tanpa seurat benang manakala baju serta kain batik dipakainya ditemui atas lantai.



Kes mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah dikebumikan dua hari lalu sebelum anaknya membuat laporan polis meminta siasatan lanjut dilakukan kerana mengesyaki ada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, mengesahkan kes itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button