Ratu Denmark lucutkan gelaran diraja empat cucu

Copenhagen: Ratu Denmark, Margrethe memohon maaf kerana menyusahkan ahli keluarga dengan keputusannya melucutkan gelaran diraja kepada empat cucunya.

Minggu lalu, pihak istana mengumumkan empat anak kepada anak bongsu Margrethe, Putera Joachim, yang tidak lagi dipanggil putera atau puteri sebaliknya Count atau Countess of Monpezat iaitu gelaran kelahiran mendiang suaminya, Putera Henrik, anak kelahiran Perancis.

“Saya sudah membuat keputusan sebagai ratu, ibu dan nenek.

“Tetapi, sebagai ibu dan nenek, saya memandang remeh sejauh mana perasaan anak bongsu saya dan keluarganya terkesan.



“Itu memberi kesan yang besar dan untuk itu saya minta maaf,” kata Margrethe, 82, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan keluarga diraja.

Sehingga kini Margrethe kekal dengan keputusannya dan enggan mengubah fikirannya.

Raja paling lama memerintah Eropah sejak kematian Ratu Elizabeth II bulan lalu itu berkata, baginda melihat penyesuaian itu sebagai bukti masa depan yang diperlukan monarki.

Perubahan itu memberi kesan kepada empat anak Joachim iaitu Putera Nikolai, Putera Felix, Putera Henrik dan Puteri Athena.



Beberapa jam selepas pengumuman istana itu, Joachim, 53, yang kelihatan sugul memberitahu akhbar harian, Ekstra Bladet, semua ahli keluarganya sangat sedih dengan keputusan itu.

“Tidak seronok melihat anak-anak kita dianiaya sebegitu.

“Mereka berada dalam situasi yang mereka sendiri tidak fahami,” katanya.

Ditanya bagaimana keputusan itu menjejaskan hubungan dengan ibunya itu, Joachim enggan berkongsi perasaannya kepada umum.

Anak lelaki bongsu Ratu itu, menjadi atase pertahanan di kedutaan Denmark di Paris sejak September 2020 berkata, beliau menerima notis lima hari mengenai perubahan itu.

Katanya, pada mulanya beliau dibentangkan dengan rancangan pada Mei lalu yang akan menghapuskan gelaran kanak-kanak itu apabila mereka mencapai usia 25 tahun.

Isteri pertama Joachim, Countess of Frederiksborg, Alexandra, ibu kepada Nikolai dan Felix berkata, mereka keliru, sedih dan terkejut dengan keputusan itu.

“Kanak-kanak itu berasa diasingkan. Mereka tidak faham mengapa identiti mereka dirampas daripada mereka,” katanya.

Joachim berkahwin kali kedua dengan Puteri Marie pada 2008 yang juga ibu kepada Henrik dan Athena.

Denmark yang berpegang kepada sistem raja berperlembagaan menjadikan pewaris takhta ialah Putera Mahkota, Frederik.

Anak sulungnya, Putera Christian pada giliran seterusnya diikuti tiga anak Frederik.

Margrethe diisytiharkan sebagai Ratu pada 15 Januari 1972, sehari selepas kematian bapanya, Raja Frederik IX.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker