Minyak masak 1kg ‘non halal’ dibekalkan pengilang yang sah

 

Oleh Pena Merah

Minyak masak 1kg 'non halal' dibekalkan pengilang yang sah
Anggota KPDN Cawangan Kajang memeriksa minyak paket di syarikat pembungkus minyak masak di Balakong, Isnin lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan minyak masak paket satu kilogram (kg) yang ditularkan sebagai ‘non halal’ dibekalkan oleh pengilang yang sah dan berlesen.

Dapatan itu hasil pemeriksaan KPDN Cawangan Kajang, Selangor ke atas premis syarikat pembungkus minyak masak terbabit di Balakong, Selangor pada Isnin lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, syarikat yang diperiksa itu adalah syarikat pembungkus minyak masak 1kg dan turut beroperasi sebagai tempat penyimpanan bekalan minyak masak paket 1kg.



Beliau berkata, pemeriksaan itu sebagai tindakan susulan video tular berhubung minyak masak paket subsidi yang tertera perkataan ‘non halal’.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan minyak masak mendapati tiada logo halal dan penandaan halal digunakan.

“Semakan juga mendapati tiada tulisan “non halal” ditemui di mana-mana paket minyak masak yang siap dibungkus,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tindakan pihak syarikat tidak meletakkan logo halal ke atas bungkusan minyak masak adalah disebabkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat sudah tamat tempoh.



“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah pun mengambil tindakan ke atas syarikat pembungkus terbabit kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa sebelum ini.

“Tindakan oleh JAIS dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhairi berkata hasil pemeriksaan keseluruhan mendapati minyak masak paket dikeluarkan syarikat pembungkus itu tidak membuat penandaan ‘non halal’ pada bungkusan plastik yang digunakan.

“Pemeriksaan turut mendapati minyak masak yang dibungkuskan oleh syarikat terbabit diperoleh daripada pengilang minyak masak yang sah dan berlesen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

“Sekiranya ingkar, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000.

“Kesalahan untuk bukan pertubuhan atau perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker