Ringgit kekal pada RM4.62 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini di tengah-tengah pengeluaran data pekerjaan bukan ladang ADP AS yang lebih baik.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan ialah pada 4.6295/6335 berbanding dolar AS daripada penutup hari Rabu 4.6290/6315.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS mula menyusut berikutan pengeluaran data Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP yang melebihi jangkaan, walaupun masih rendah secara mutlak (208,000 berbanding unjuran 200,000).

ADP mengukur perubahan dalam pekerjaan merentasi syarikat sektor swasta AS yang besar, jadi ia penunjuk yang boleh dianggap sebagai previu bagi Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) yang penting, katanya.



“Dari sudut teknikal, USD/MYR berada dalam zon rintangan yang sangat penting dan arah aliran menurun boleh bermula tidak lama lagi,” tambahnya.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluarannya semasa mesyuarat baru-baru ini boleh menstabilkan mata wang tempatan.

“Harga minyak yang lebih tinggi selepas OPEC+ mengumumkan pemotongan pengeluaran besar-besaran boleh membantu menstabilkan ringgit selepas tempoh yang goyah.

“Kami juga sedang mencari tempoh konsolidasi menjelang pengeluaran data gaji bukan ladang AS dan pembentangan Bajet 2023 pada hari Jumaat,” katanya kepada Bernama.



Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.2614/2660 daripada 5.2706/2734 pada penutup semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2016/2046 daripada 3.2037/2056 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.5901/5941 daripada 4.5966/5991 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2545/2578 daripada 3.2500/2522 pada hari Rabu.

BERNAMA





Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker