100 kawasan di JB tiada aiR

Johor Bahru: Penduduk di kira-kira 100 kawasan dalam 10 zon di daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak terancang sejak malam tadi.

Turut terkesan, sebuah kawasan di daerah Kota Tinggi susulan loji rawatan air (LRA) Sungai Johor yang terpaksa dihenti tugas akibat terputus bekalan elektrik.

Syarikat Air Johor, Ranhill SAJ, dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan kerosakan kabel dilakukan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan mengambil masa.

“Untuk makluman para pelanggan, berlaku kerosakan kabel elektrik ke ‘incoming transformers’ LRA Sungai Johor sekali gus menyebabkan henti tugas sementara sejak petang tadi (semalam).



“Pengguna disarankan membuat simpanan air secukupnya dan sebarang pemakluman berkaitan insiden ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam info pemberitahuan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Ranhill SAJ semalam, 10 zon terjejas adalah Tiram, Austin, Tebrau, Kempas, Skudai, Tampoi, Perling dan Bukit Indah, Iskandar Puteri serta Stulang membabitkan kira-kira 104 kawasan.

Zon Kota Tinggi juga turut terjejas membabitkan kawasan Taman Sri Saujana.

Menjengah ke ruangan komen di Facebook berkenaan, rata-rata pengguna menyatakan rasa kesal atas gangguan bekalan air itu kerana berpendapat pihak Ranhill SAJ tidak menyediakan pelan kecemasan menghadapi insiden seumpama itu.



Sementara itu, ramai juga pengguna yang tidak berpuas hati kerana tidak dimaklumkan jangkaan bekalan air akan kembali pulih, sekali gus menyulitkan urusan harian terutamanya yang mempunyai anak kecil, warga emas dan menyukarkan lelaki beragama Islam hendak bersiap menunaikan solat Jumaat, hari ini.

Selain itu, pengguna turut berharap pihak TNB dapat menjalankan kerja pembaikan dengan segera supaya bekalan air dapat kembali pulih.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker