Bernard Arnault kini individu terkaya dunia

Paris: Hartawan jenama mewah, Bernard Arnault dari Perancis disenaraikan sebagai individu terkaya dunia mengatasi pengasas Tesla, Elon Musk.

Ia berdasarkan senarai Indeks Bilionair Dunia Forbes 2023.

Beliau mencapai kemuncak itu melalui keuntungan dan saham jenama mewah LVMH dimiliki keluarganya yang membantu menambah AS$53 bilion (kira-kira RM233 bilion) kepada kekayaannya sepanjang 12 bulan lalu.



Forbes melaporkan, ia adalah keuntungan terbesar dalam kalangan bilionair tahun ini.

Lelaki berusia 74 tahun itu memperoleh kekayaan bernilai AS$211 bilion (kira-kira RM928 bilion), mengatasi Musk yang berada di kedudukan pertama, pada tahun lalu.

Musk kini menduduki tempat kedua dengan kekayaan sebanyak AS$180 (kira-kira RM791 bilion, mengikut pengiraan Forbes.

Nama Arnault tidak begitu dikenali ramai seperti mana jenama dimiliki LVMH iaitu Louis Vuitton, Christian Dior, Tiffany, Sephora, Givenchy, Marc Jacobs dan banyak lagi.



Sejak Arnault menguasai LVMH tiga dekad lalu, beliau mengubahnya menjadi syarikat barangan mewah terbesar di dunia dengan lebih daripada 70 jenama, dan mempunyai pelanggan setia di seluruh dunia.

Didorong oleh pengambilalihan, pendapatan meningkat daripada AS$4 bilion (kira-kira RM17.6 bilion) pada tahun 1989 kepada AS$86 bilion (kira-kira RM378 bilion) tahun lalu.

Saham LVMH melonjak 35 peratus sepanjang tahun lalu.

Lelaki Perancis itu pertama kali muncul dalam senarai bilionair Forbes pada 1997, melonjak kepada 20 individu terkaya menjelang 2005 dan keempat terkaya di dunia pada 2011.



Kekayaannya melonjak hebat pada 2018, meningkat kepada AS$71 bilion (kira-kira RM312 bilion) daripada AS$41.5 bilion (kira-kira RM182.5 bilion) pada tahun sebelumnya.

Walaupun berada di kedudukan keempat selama tiga tahun, beliau naik ke kedudukan ketiga terkaya tahun lalu mengekori Musk dan pengasas Amazon, Jeff Bezos.

Arnault jelas menguasai formula menjadikan barangan mewah klasik mengekalkan daya tarikannya.

Tindakannya menambah pereka dan jenama baharu memberikan kelebihan kepada LVMH.



Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button