Jepun timbang separa darurat di Tokyo

 

Kerajaan Jepun memulakan rundingan untuk mengenakan separa darurat di Tokyo dan kawasan sekitarnya bagi tempoh seminggu susulan peningkatan kes COVID-19, kata penyiar FNN hari ini.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, Khamis lalu, dilaporkan berkata ibu negara akan mencadangkan langkah sedemikian jika penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 meningkat kepada 20 peratus.

Penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 semalam berada pada 19.3 peratus. Varian Omicron yang sangat mudah berjangkit melonjakkan semula kes COVID-19 di Jepun.

Kes baharu di seluruh negara melebihi 25,000 dalam tempoh dua hari, menghampiri paras rekod.

Kerajaan pada 9 Januari lalu mengisytiharkan langkah separa darurat di tiga wilayah yang menjadi tuan rumah kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) selepas penularan Omicron di pangkalan itu merebak kepada masyarakat sekitar.

Ia termasuk memendekkan waktu operasi untuk restoran dan bar, penguatkuasaan pertama sekatan sedemikian sejak September lalu, apabila Jepun menarik balik kawalan kecemasan di seluruh negara, tahun lalu.

Minggu lalu, Koike berkata, pengisytiharan penuh darurat di Tokyo akan dimohon, jika kadar penggunaan katil hospital meningkat kepada 50 peratus.

Tokyo memperuntukkan kira-kira 6,900 daripada kira-kira 128,000 keseluruhan katil bagi penjagaan pesakit COVID-19.

– AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker