Perak, Pahang langkah kanan

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Perak mengotakan janji untuk membuka kempen hoki Piala Tun Abdul Razak 2022 dengan langkah kanan apabila menewaskan Johor 2-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Perak yang menjadi pilihan dalam aksi Kumpulan A itu membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi jaringan padang yang disempurnakan Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin sebelum Muhammad Hafizal Halmi meledak gol kedua pada minit ke-42.

Ketua jurulatih Perak, S Jagatheesan berkata, dia gembira dengan corak permainan dipamerkan anak buahnya dan kemenangan itu memberi tonik untuk mereka mengharungi perlawanan seterusnya.

“Seperti yang saya katakan semalam, saya nak mula dengan langkah kanan. Nombor satu, kemenangan ini akan menjadi motivasi kepada pemain.



“Johor adalah pasukan yang bagus dan saya secara peribadi suka bermain dengan pasukan yang kuat pada awal kejohanan. Ini kerana mereka pun sedang mencari rentak dan kita pun begitu.

“Jadi, lebih baik bermain dengan pasukan yang kuat terlebih dulu dan daripada sudut kelemahan, kita kena perbaiki dan meningkat pada perlawanan seterusnya.

“Secara keseluruhan, ia satu kemenangan yang bagus, menjadi motivasi kepada pemain dan kita berjaya menewaskan Johor, pasukan naib juara SUKMA (Sukan Malaysia) dan mereka dikendali seorang jurulatih yang bagus,” kata Jagatheesan.

Mengikut jadual, Perak dijadual bertemu Negeri Sembilan untuk perlawanan kedua dan bagi Jagatheesan, dia akan mengatur strategi berbeza untuk perlawanan berkenaan.



“Untuk perlawanan bertemu Negeri Sembilan, strategi itu mengikut perlawanan (dengan pihak lawan). Saya akan melihat perlawanan mereka (Negeri Sembilan menentang Terengganu) dan selepas itu akan membuat keputusan,” katanya.

Dalam aksi Kumpulan B, pasukan Pahang tidak berdepan masalah menewaskan Perlis 4-1.

Gol Pahang dijaringkan Muhammad Noor Firdaus Rosdi (minit ke-2 dan ke-17), Muhammad Idris Samad (minit ke-35) dan Muhammad Haikal Ridwan Osman (minit ke-54).

Gol tunggal Perlis disempurnakan Muhammad Syahir Hasif Harun pada minit ke-17 menerusi jaringan padang.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker