Piala Dunia terakhir saya – Messi

BUENOS AIRES, Argentina: Kapten Argentina, Lionel Messi berkata Piala Dunia 2022 di Qatar adalah yang terakhir dalam kariernya.

“Ia adalah Piala Dunia terakhir saya, pasti. Saya rasa baik daripada segi fizikal, mengharungi pra-musim yang bagus tahun ini, sesuatu yang tidak dapat saya lakukan tahun lalu.

“Ia penting untuk sampai ke tahap ini, dengan minda yang betul dan harapan yang tinggi,” kata pemain 35 tahun itu.

Messi, yang akan tampil di Piala Dunia kelimanya, membuat penampilan sulung pada thaun 2005 dan sejak itu mengumpul 164 kap untuk Argentina serta menjadi penjaring terbanyak negaranya dengan 90 gol.

Dalam satu wawancara di Paris di mana dia beraksi untuk kelab Perancis, Paris Saint-Germain, Messi mengakui dia tidak sabar untuk mengharungi kejohanan di Qatar itu.

“Ada rasa gemuruh, berdebar-debar tentang Piala Dunia. Kami tidak sabar menanti ia bermula,” katanya.

Penampilan sulung Messi di pentas antarabangsa adalah sebagai pemain gantian ketika menentang Hungary dan ia hanya bertahan dua minit selepas dia dibuang padang.

Namun dia dengan pantas merebut tempat dalam skuad Argentina dan terbang ke Jerman untuk Piala Dunia pertamanya pada tahun 2006.

Ia disusuli dengan edisi 2010 di Afrika Selatan, 2014 di Brazil, di mana Argentina mara hingga ke final, dan 2018 di Russia.

Skuad kendalian Lionel Scaloni ketika ini belum pernah tewas dalam 35 perlawanan dan diletakkan antara pasukan pilihan untuk kejohanan di Qatar.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker