Pihak berkuasa Singapura rampas sumbu badak bernilai AS$830,000

SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura merampas sumbu badak bernilai AS$830,000 (RM3.8 juta) yang diseludup masuk dari Afrika Selatan kelmarin, dalam rampasan yang disifatkan sebagai terbesar di pulau itu, lapor laman berita Wion News.

Sebanyak 20 sumbu badak seberat 34 kilogram ditemui dalam dua bagasi di Lapangan Terbang Changi, demikian menurut Lembaga Taman Negara Singapura.

Beberapa anjing pengesan mengesan bahan seludup tersebut. Sumbu tersebut adalah milik seorang penumpang yang mahu meneruskan perjalanan ke Laos , manakala suspek telah ditahan.



Lembaga Taman Negara Singapura dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan rampasan terbesar bagi sumbu badak di Singapura setakat ini.

Menurut lembaga tersebut, selepas sumbu-sumbu badak itu menjalani ujian genetik bagi menentukan spesiesnya, ia akan dimusnahkan bagi menghalangnya daripada memasuki semula pasaran.

Konvensyen Antarabangsa mengenai Perdagangan Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (Cites) melindungi badak sumbu dan mengharamkan pemerdagangan sumbu badak di peringkat antarabangsa.

Di sebilangan rantau di Asia, sumbu badak dianggap sebagai simbol status dan dikatakan menawarkan manfaat terapeutik.



Selain itu, ia turut diukir menjadi barang kemas serta barangan kelengkapan rumah seperti sikat, butang dan gesper tali pinggang.

Menurut laporan, dari tahun 2018 hingga 2021, lebih 2,700 badak sumbu diburu di Afrika dengan 90 peratus daripada pembunuhan berlaku di Afrika Selatan, terutamanya di Taman Negara Kruger.

Sebahagian besar badak sumbu di dunia atau hampir 80 peratus hidup di Afrika Selatan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button