Polis tahan seorang lelaki ugut peniaga supaya bayar wang perlindungan

SERDANG – Polis menahan seorang lelaki yang mengugut bunuh peniaga yang mempunyai pekerja asing di sekitar daerah ini supaya membayar wang perlindungan kepadanya.

Lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan membuat pemerasan terhadap peniaga dengan menghantar gambar pistol dan peluru kepada peniaga yang enggan membayar wang perlindungan seperti diminta.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata kegiatan lelaki itu dibongkar selepas seorang peniaga membuat laporan polis semalam.

“Mangsa mendakwa diugut bunuh oleh suspek menerusi gambar pistol dan peluru yang dihantar lelaki itu menerusi aplikasi WhatsApp, bagi menakutkannya.



“Difahamkan suspek bertindak demikian kerana mangsa enggan membayar wang perlindungan kepada suspek,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, susulan itu polis menahan lelaki terbabit di sekitar daerah ini pada hari sama.

“Siasatan kemudian membawa kepada rampasan sepucuk pistol semi automatik berserta lapan butir peluru di Kajang.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methephatamine dan memiliki 10 rekod jenayah lampau,” katanya.



Anbalagan berkata, suspek kini direman sehingga hari ini sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi siasatan berhubung penemuan pistol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada suspek diminta tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker