PRU 15: KUASA RAKYAT BALAS DENDAM TERHADAP PENIPU DAN KATAK POLITIK
Oleh Rohana Man
KUALA LUMPUR – Rakyat wajar membalas dendam terhadap penipuan dan janji palsu Pakatan Harapan (PH) serta pengkhianatan ‘katak-katak’ politik Perikatan Nasional (PN) dengan menanam ‘hidup-hidup’ parti dan individu yang menghuru-harakan politik negara.
Berikutan saranan itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Moktharrudin, meminta
rakyat memberikan mandat sepenuhnya kepada Barisan Nasional (BN) demi kestabilan politik tanah air.
Menurutnya,hanya kerajaan yang stabil dan diyakini dapat menarik pelabur asing untuk terus melabur dan bersama membangun ekonomi negara.
“Jangan lagi kita termakan umpan janji palsu yang sudah mula ditabur pemimpin PH dengan harapan mereka dapat kembali berkuasa.
“Saya percaya, rakyat kini tidak akan diperbodohkan lagi untuk kali kedua,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin percaya pembentangan Belanjawan 2023 oleh kerajaan akan menawarkan banyak inisiatif dan bantuan terbaik buat rakyat dan ekonomi negara.
Namun, katanya, dalam masa yang sama, PH dan PN juga akan membuat belanjawan ‘bulan dan bintang’ yang mampu menarik undi rakyat.
“Percayalah, itu semua dusta semata-mata. Rakyat jangan terpedaya,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai pemimpin muda UMNO, beliau akui bahawa BN tidak sempurna kerana parti itu merupakan sebuah parti yang besar dan memiliki jutaan ahli di seluruh negara.
Namun, katanya, perubahan sentiasa dilakukan demi penambahbaikan ruang buat pemimpin muda dan berwibawa yang telah diberikan mandat sepanjang Pilihan Raya Kecil Melaka dan Johor.
“Ini menunjukkan, Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengarah Pilihanraya yang juga Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohd Haji Hasan, berani membuktikan UMNO kini sudah berubah dan melakukan transformasi mengikut arus perubahan rakyat,” tambahnya.
Muhamad Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai berkata, konsep Winnable Acceptable Likeable WALI adalah salah satu formula yang dibawa dalam memilih calon dan peluang buat pemimpin profesional menjadi calon BN, sekali gus menunjukkan mereka bersifat terbuka dan mendengar suara rakyat.
“Saya harap PRU-15 akan menyajikan sesuatu yang luar biasa dan dapat dibawa Barisan Nasional, khusus untuk seluruh rakyat,” katanya