Ringgit susut kepada RM4.64 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan komen daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menaikkan kadar faedah negara itu menjelang awal 2023.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6465/6495 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis 4.6345/6390.

Memetik satu laporan berita, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes menyatakan Presiden Fed, Chicago Charles Evans telah disebut sebagai berkata bahawa kadar penanda aras AS mungkin akan berada pada 4.5-4.75 peratus menjelang musim bunga akan datang kerana pegawai bimbang dengan inflasi teras yang tinggi.

“Walaupun harga minyak lebih tinggi, gandingan dolar AS/ringgit sepatutnya lemah pagi ini selepas komen yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah daripada bank pusat, kerana kadar faedah AS yang lebih tinggi bermakna nilai dolar AS akan lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.



Selain itu, beliau berkata peserta pasaran juga akan mengambil petunjuk daripada data gaji bukan ladang AS kerana ia seharusnya dapat memberikan bayangan tentang kesihatan ekonomi AS.

Di pasaran tempatan, Innes berkata, pelabur akan menantikan pembentangan Bajet 2023 petang ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1795/1828 daripada 5.2231/2282 pada penutup semalam, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2507/2532 daripada 3.2518/2552 sebelumnya dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.5503/5533 daripada 4.5821/5866 sebelumnya.



Walau bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2056/2081 daripada 3.2033/2066 pada penutupan pada Khamis.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker