Seorang mekanik maut digilis jentolak di lombong bijih besi



DUNGUN – Seorang mekanik maut digilis jentolak yang sedang dibaikinya di tapak sebuah lombong bijih besi di Bukit Besi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Kong Hon Meng, 63, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan sedang membaiki kerosakan jentolak jenis Komatsu itu bersendirian.

“Dia dikatakan berada di atas roda berantai jentera berat tersebut sebelum cuba menghidupkan enjin jentera terbabit menggunakan peralatan pengecas bateri.



“Tidak lama kemudian, enjin jentera itu berjaya dihidupkan sebelum roda berantainya tiba-tiba bergerak sendiri.

“Ia menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah tanah sebelum digilis oleh jentera berat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, rakan mangsa yang menyaksikan kejadian segera berlari memberhentikan jentolak berkenaan.

Tambah beliau, Hon Meng kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun di sini sebelum disahkan meninggal dunia.



© Kosmo!



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker