Wajah bertukar jadi biru

Tanah Merah: Pada usia baharu tiga bulan, Muhammad Adha Mikhael Kamaruddin sudah melalui pelbagai derita selepas dikesan menghidap penyakit paru-paru kronik, jantung berlubang dan juga injap jantung sempit.

Keadaan itu membuatkan anak bongsu daripada empat beradik itu hanya mampu merengek dan menangis setiap kali lapar atau menahan kesakitan.

Ibunya, Noor Diana Shaidon, 35, berkata, anaknya dilahirkan di Hospital Tanah Merah melalui pembedahan, namun terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (Nicu) selama enam hari akibat jangkitan kuman di paru-paru sebelum dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun, saya memerhatikan keadaan Mikhael tidak seperti biasa apabila nafasnya terlalu laju selain wajahnya juga akan bertukar kebiruan setiap kali menangis tanpa henti.



“Bimbang dengan keadaan itu, saya dan suami, Kamaruddin Hussin, 32, membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah dan doktor mengesahkan anak kami menghidap penyakit jantung berlubang dan injap jantung sempit.

“Pada ketika itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa luluhnya hati seorang ibu apabila anak yang masih kecil perlu menanggung kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Jalan Lubok di sini, kelmarin.

Noor Diana berkata, biarpun pelbagai dugaan terpaksa ditempuh, dia dan suami perlu tabah menghadapinya kerana Mikhael adalah kurniaan istimewa daripada Allah SWT kepada mereka untuk dijaga sebaik mungkin.

“Sejak lahir Mikheal tidak boleh menyusu badan dan perlu bergantung sepenuhnya kepada susu formula yang diberikan setiap tiga jam sekali.

“Setiap bulan kami perlu membelanjakan RM1,500 untuk membeli susu formula yang berharga RM150 setin dan hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja,” katanya.

Katanya, disebabkan keadaan Mikhael, dia juga perlu peka terutama pada waktu malam kerana bimbang anaknya mengalami sesak nafas atau tersedak.

“Adakalanya saya sendiri tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung Mikhael dalam usianya yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa.

“Mikhael perlu menghadiri temu janji di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan kami sentiasa berdoa supaya penyakitnya sembuh serta kembali sihat,” katanya.

Katanya, suaminya mengambil upah melakukan kerja kampung untuk menampung keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah berusia enam hingga 16 tahun.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 153056373047 atas nama Noor Diana Shaidon atau boleh menghubunginya di talian 01116914552.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker