Kerajaan setuju bantu penghantaran pulang 63 rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membantu urusan penghantaran pulang 63 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu dengan kerjasama antara agensi kerajaan berkaitan.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan bersama dengan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini, memaklumkan pihaknya bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang semua jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

“Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai 63 rakyat Malaysia terdiri daripada 28 individu dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.



“Semua jemaah ini dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu, bagaimanapun mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.

“Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 29 individu terdiri daripada lima keluarga terkandas di Madinah dan tidak dapat pulang kerana gagal menjelaskan wang denda tinggal lebih masa.



Ia selepas terpedaya dengan dakwaan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang juga pemimpin tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah kononnya Imam Mahdi akan muncul di Arafah.

Mereka sebelum ini juga terpaksa tinggal di Masjid Nabawi dan mengharap ehsan orang ramai yang memberi bantuan wang dan makanan untuk menyara hidup selepas terkandas lebih tiga bulan di Madinah.

Difahamkan jumlah denda yang perlu dijelaskan setiap orang adalah RM11,000 dan jumlah keseluruhan adalah RM319,000 di mana mereka kini berada berada sementara di kediaman Konsulat Malaysia di Jeddah.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button