PDRM nafi dakwaan Jho Low dikeluarkan daripada notis merah Interpol

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia menafikan dakwaan menyatakan Ketua Polis Negara menyatakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sudah dikeluarkan daripada notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) sebagai helah supaya individu berkenaan kembali ke Malaysia.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berhubung hantaran itu yang dimuat naik di akaun Twitter ‘Borneoghost’ yang membuat dakwaan itu.

“PDRM menafikan kenyataan itu dan ia adalah berita palsu daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan mewujudkan kegusaran masyarakat.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

“Selain itu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan platform berkenaan untuk menyebarkan berita tidak benar sehingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker