Pearly boleh beraksi di Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan disahkan dapat beraksi di Terbuka Denmark 2022 di Odense dari 18 hingga 23 Oktober ini.

Berita gembira itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky ketika ditanya mengenai status terkini pemain tersebut.

“Ya (memang Pearly dapat beraksi),” katanya kepada Bernama dalam jawapan ringkas menerusi Whatsapp hari ini.

Rexy berkata selain Terbuka Denmark pasangan nombor 11 dunia itu akan bersaing dalam Terbuka Perancis 2022 di Paris pada 25-30 Oktober.



Pengesahan itu sekali gus membuatkan pasangan Pearly iaitu M. Thinaah terpaksa melupakan sambutan Deepavali yang bakal diraikan pada 24 Oktober ini.

Sebelum ini, peluang gandingan utama negara itu untuk beraksi di kejohanan Eropah agak samar-samar kerana Pearly masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialaminya di Terbuka Jepun awal bulan lepas.

Pada Terbuka Denmark, Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Suppajirakul diikuti menentang juara Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia pada Terbuka Perancis.

Di sebalik kegembiraan Pearly itu, nasib sama tidak menyebelahi seorang lagi pemain beregu wanita negara, Anna Cheong Ching Yik selepas berita terkini menyatakan beliau mengalami ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanannya.



Anna berkata kecederaan ACL yang dialaminya sekali gus memberi tanda tanya mengenai peluang beliau untuk beraksi dalam Terbuka Hylo 2022 di Saarbrucken, Jerman pada 1-6 Nov bergandingan dengan Teoh Mei Xing.

“Saya dapat tahu ACL selepas cedera terpijak kaki seorang pemain ketika sesi latihan baru-baru ini, bila lakukan imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) pasukan perubatan mengesan saya mungkin kena ACL ini sudah lama,” katanya.

Bagaimanapun, Anna berkata buat masa ini tiada pembedahan diperlukan untuk pulih daripada ACL sebaliknya beliau dinasihatkan supaya menjalani proses rehabilitasi untuk menguatkan otot bagi melindungi kecederaannya daripada menjadi bertambah teruk.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker