12 menteri tikam belakang PM, jadikan Kabinet tak stabil tadbir urus negara

12 menteri tikam belakang PM, jadikan Kabinet tak stabil tadbir urus negara

12 menteri tikam belakang PM, jadikan Kabinet tak stabil tadbir urus negara
Bangunan Parlimen. – Foto NSTP

KHAMIS lepas, sehari sebelum pembentangan Bajet 2023, Belalang seperti rakyat seluruh negara menunggu sama ada Dewan Rakyat akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Desas-desus pembubaran dilaporkan hampir semua media dan tular dalam media sosial. Ditokok lagi jadual majlis menghadap Perdana Menteri ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Dalam majlis menghadap mingguan untuk sesi taklimat mesyuarat Kabinet itu, Datuk Ismail Sabri Yaakob dikatakan akan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen.

Namun, jangkaan itu tak jadi kenyataan apabila Istana Negara dalam kenyataan di Facebook pada malamnya memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk taklimat pra-Kabinet.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet antara aktiviti mingguan atau rutin utama baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan.

Ada yang kecewa, tak kurang ada juga yang lega. Sebahagian pemimpin UMNO yang mahu PRU-15 awal kecewa kerana Parlimen tak jadi bubar kerana Belalang dimaklumkan mereka yakin boleh menang.

Risikan kata BN boleh menang PRU tahun ini

Ada kawan-kawan Belalang dalam UMNO kata laporan Cawangan Khas atau SB dan pasukan inteligen tentera menunjukkan BN boleh menang kalau PRU-15 diadakan tahun ini.

PN, PAS dan PH tentu paling lega sebab mereka tak mahu bubar tahun ini untuk menumpukan pada pemulihan negara dan membantu rakyat selain menghadapi banjir musim tengkujuh sekarang.

Sehingga laporan ini ditulis, Parlimen belum dibubarkan walaupun masih ada desas-desus PRU-15 akan diadakan juga tahun ini, masih dalam musim tengkujuh.

Tak mengapa, Belalang rasa elok kita tunggu perkembangan selanjutnya walaupun dalam hati berkata-kata elok bubar sahaja dan serah pada rakyat buat keputusan. Kawan-kawan pun kata dah penat dengan politik dalam negara.

Namun, apa yang Belalang musykilkan ialah tindakan 12 menteri menandatangani warkah. Mereka dipilih Ismail Sabri dan dilantik pula oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam Perkara 43 Perlembagaan berhubung Jemaah Menteri ada menyatakan seperti berikut:

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

(4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

12 menteri langkau batas babitkan Istana

Ada yang mengadu tindakan 12 menteri itu satu perbuatan tikam belakang terhadap Ismail Sabri. Juga melangkaui batasan kerana membabitkan pihak istana. Ia sepatutnya diselesaikan di peringkat Kabinet sahaja, tak perlu diheret hingga ke Istana Negara.

Bagi Belalang, ia mungkin menyukarkan Perdana Menteri mentadbir negara dan membuat keputusan selepas ini kerana 12 anggota Kabinet tidak serasi dengan beliau. Jika Kabinet ini kekal sehingga tahun depan bukan sahaja politik negara tidak stabil, malah Kabinet juga sukar membuat keputusan.

Tahun depan kemelesetan ekonomi akan melanda dunia. Jadi pada pandangan Belalang jika kemelut politik negara tidak diselesaikan segera macam mana kerajaan dan kabinet nak mengharungi ‘ribut ekonomi’ menjelang tahun depan.

Jadi, tak hairanlah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sama ada Perdana Menteri masih memiliki sokongan 12 menteri PN.

Menurut beliau, hanya Perdana Menteri ada hak menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan.

Begitu juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan membangkitkan keabsahan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Namun Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin lain pula pandangannya kerana menganggap pendirian PN tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

PM boleh pecat, lantik menteri baharu

Tak berpuas hati dengan pandangan ahli politik yang mungkin membawa agenda parti masing-masing, Belalang cuba dapatkan pandangan penganalisis dan ahli akademik.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ketika diminta pandangannya, menjelaskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong ada implikasi besar.

Beliau berpandangan Perdana Menteri sebenarnya hilang legitimasi kerana ada bantahan daripada anggota Kabinet.

“Menteri yang tidak bersetuju perlu letak jawatan atau jika tidak, Perdana Menteri boleh memecat mereka dan melantik menteri baharu.

“Namun, ini akan beri implikasi sokongan PN kepada beliau dalam kerajaan. Mungkin sudah hilang majoriti, namun hanya dapat dibuktikan dalam undi percaya di Parlimen atau ikut amalan sebelum ini melalui akuan bersumpah dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Soalnya, apa tindakan Perdana Menteri seterusnya? Menurut Mohd Azizuddin, Perdana Menteri boleh terus memecat mereka, namun akan menyebabkan PN menarik sokongan.

Ini menyebabkan kerajaan beliau jatuh dan perlu memohon perkenan untuk bubarkan Parlimen dan PRU-15 diadakan segera seperti dimahukan UMNO. Namun katanya, ini mungkin tidak dimahukan sebahagian rakyat.

Mengenai warkah 12 Menteri itu, Mohd Azizuddin berkata, ia juga sebenarnya melanggar perjanjian antara Ismail Sabri dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menurut perjanjian itu sebarang masalah perlu diselesaikan secara dalaman.

“Warkah itu tersebar kepada umum. Kandungannya dilihat cuba menangguhkan usaha Perdana Menteri membawa usul bubarkan Parlimen dan beliau tidak dapat konsensus kecuali ia ditarik balik menteri PN dan terus berunding,” katanya.

Sikap belakangi PM, tiada amalan tanggungjawab bersama

Belalang cuba dapatkan seorang lagi penganalisis politik, kali ini Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berpendapat tindakan 12 menteri itu memperlihatkan sikap mereka membelakangi dan tiada amalan tanggungjawab bersama.

Katanya, mereka seharusnya memberi kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri selaku ketua kerajaan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pembubaran Parlimen.

“Tindakan ini juga bagi memperlihatkan Perdana Menteri sebagai lemah dan tidak mampu mengawal tindak tanduk Jemaah Menteri.

“Selain itu, jika dinilai, 12 menteri tidak bersetuju pembubaran Parlimen, apa pula pendirian 20 lagi menteri yang mungkin tidak sehaluan dengan mereka? tanya beliau.

Mohd Izani berkata, dalam perjanjian PN dengan Ismail Sabri berat sebelah yang mengikat tangan dan kaki Perdana Menteri untuk bebas bertindak dan membuat keputusan.

“Kita tidak pasti sama ada pihak istana maklum dengan perjanjian itu, tambahan pula yang melantik adalah Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, hasrat UMNO untuk diadakan PRU-15 lebih awal dapat difahami kerana mereka mahu Perdana Menteri dihormati dan kerajaan kukuh untuk mentadbir dan menguruskan negara,” katanya.

Bagi Belalang, apa berlaku ini menunjukkan ahli politik perlu timbang betul-betul sebarang keputusan diambil supaya tidak mengusutkan keadaan seperti kata orang tua-tua, janganlah tindakan kita ini ibarat tikus membaiki labu dan ingat-ingatlah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, apatah lagi ini sudah terlajak menulis warkah.

Sumber :

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2022/10/1010157/12-menteri-tikam-belakang-pm-jadikan-kabinet-tak-stabil-tadbir-urus-negara

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :



Ketiadaan Calon Punca PH Takut Hadapi PRU 15

 

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :


 


DISYORKAN UNTUK ANDA :


 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker