Agong bertitah bersedia hadapi perubahan cuaca

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat supaya memperkemas diri untuk menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak.

Seri Paduka turut meminta semua agensi berkaitan membuat persediaan rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan ummah.

“Kita sedia maklum bahawa saban tahun tatkala kehadiran November, Malaysia berhadapan dengan risiko berlakunya banjir.



“Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara berhadapan dengan hujan lebat berterusan dan risiko banjir berskala besar mulai hujung November.

“Pada kesempatan ini, beta mengingatkan seluruh rakyat untuk memperkemas diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak.

“Persediaan tersebut bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir, tetapi merangka satu kaedah bagi bantuan kepada mangsa banjir dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).



Yang berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button