‘Tolong jadi guru di syurga’

Na Klang, Thailand: Seorang guru yang maut dalam tragedi tembakan di taska, Supaporn Pramongmuk, dipercayai sedang hamil dan suaminya menyiarkan penghormatan yang pedih di Facebook.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan kepada saya dan keluarga. Isteri saya telah menunaikan setiap tugas sebagai seorang guru,” tulis Seksan Srirach.

“Tolong jadi guru di syurga, dan anakku tolong jaga ibumu di syurga.”

Ibu bapa yang kesedihan meletakkan bunga mawar putih satu demi satu di tangga taska di mana nyawa anak-anak mereka telah diragut dengan kejam pada petang Khamis oleh sarjan polis yang dipecat, Panya Khamrab.



Beberapa ibu bapa, yang bergelut untuk memahami kekejaman itu, menangis tanpa henti, menggenggam mainan atau selimut kegemaran anak-anak mereka.

Ada ibu yang memegang botol susu separuh penuh, dipercayai milik anaknya.

Dalam kejadian Khamis lalu, penyerang memecah masuk ke pusat jagaan kanak-kanak itu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari dan melepaskan tembakan dengan pistol 9mm miliknya yang sah selain turut menetak dengan pisau.

Selepas itu lelaki berusia 34 tahun itu pulang ke rumah untuk membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum membunuh dirinya sendiri, kata polis.



Secara keseluruhan, dia membunuh 24 kanak-kanak — 21 lelaki dan tiga perempuan — dan 12 dewasa. Kebanyakannya meninggal dunia akibat gabungan luka pisau dan tembakan, menurut penyiasat polis.

Panya telah dipecat daripada perkhidmatan polis kerana penyalahgunaan dadah.

Beberapa orang dalam komuniti rapat telah memberitahu AFP bahawa dia dikenali di kawasan itu sebagai penagih methamphetamine.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker