Parlimen bubar, PKR buat mesyarat malam ini

PETALING JAYA – PKR mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabatnya di sini, malam ini, susulan pengumuman pembubaran Parlimen yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi.

Mesyuarat malam ini dipercayai bagi membincangkan gerak kerja dan persiapan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Puluhan pengamal media mula berhimpun di hadapan ibu pejabat PKR seawal jam 8 malam tadi, dengan mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bermula sekitar jam 9.30 malam.



Beberapa pimpinan tertinggi parti tiba ke ibu pejabat PKR seawal jam 8.30 pagi tadi, antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Nurul Izzah Anwar; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim; Ketua Wanita, Fadhlina Sidek dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Hee Loy Sian.

Petang tadi, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang tadi.

© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button