Malaysia bebas banjir sebelum 15 November

Mangsa banjir di Hulu Langat pada Disember tahun lepas sedang berusaha menyelamatkan barang milik mereka daripada rosak akibat banjir.

Oleh: Ahmad Wira Mahat 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan ramalan bahawa negara ini mungkin akan disirami hujan lebat berterusan mulai pertengahan bulan November yang mungkin akan membawa banjir besar pada hujung bulan.

Oleh itu sebelum 15 November tahun ini, Malaysia bebas banjir dan boleh jadi masa untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pihak pembangkang sekarang mencanang di sana sini menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) parti gila kuasa kerana mahukan PRU15 diadakan segera.



Soalnya, adakah BN mampu menang jika PRU diadakan pada masa terdekat. Jika pengundi tidak memilih BN, BN tetap akan kalah dan akan jadi pembangkang.

PRU15 diadakan untuk mendapatkan parti atau gabungan yang dapat mandat baharu untuk mentadbir kerajaan dengan lebih stabil.

Timbul juga BN dan UMNO dituduh tidak sayangkan nyawa rakyat kerana mahu buat PRU ketika musim banjir.

Belum gila lagi sebenarnya para pemimpin UMNO khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu membubarkan Parlimen dan PRU diadakan ketika banjir.



Antara masa yang boleh diadakan ialah, bubar sekarang dan buat PRU sebelum 15 November apabila dijangka negara akan mengalami cuaca hujan lebat.

Jika lewat sekali pun, dalam Perlembagaan Persekutuan, PRU mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran Parlimen diwartakan.

Jika ada kebimbangan banjir akan berlaku, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat mereka boleh pilih tarikh selepas bencana banjir surut dan pulih untuk diadakan hari mengundi.

Belum ada lagi dalam sejarah bahawa banjir berlarutan selama beberapa bulan. Biasanya ia akan berlarutan selama kira-kira dua minggu sebelum surut.



Pembangkang dan parti anti-BN sekarang ini tahu bahawa keperluan amat mendesak untuk diadakan PRU tetapi mereka tidak mahu kerana mereka tahu Perdana Menteri sekarang sudah tidak kukuh kedudukannya dan kerajaan senang diherdik-herdik dan di tuduh-tuduh.

Keadaan gabungan parti dalam kerajaan campuran juga tidak harmoni apabila ada parti yang sudah mengisytiharkan BN sebagai parti musuh pada PRU15.

Landskap harmoni dalam kalangan parti kerajaan juga amat pudar. Bagaimana mahu bekerjasama untuk memberikan fokus menyelesaikan masalah rakyat kalau ada rasa iri hati dan benci-membenci.

Kalau menurut MetMalaysia, adalah selamat untuk PRU15 diadakan sebelum banjir melanda.



Soalnya, hendak atau tidak sahaja menentukan semuanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button