125 anggota SMART siap sedia hadapi MTL

PUTRAJAYA: Seramai 125 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) termasuk tiga wanita bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Pemangku Komander SMART, Abdul Manaf Cik Isa, berkata SMART juga sudah bersiap sedia dari segi aset untuk berdepan bencana ini sekiranya berlaku pada bila-bila masa.

SMART turut bekerjasama dengan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menerima notifikasi banjir di seluruh negara.



“Anggota memerlukan masa satu jam selepas menerima notifikasi bagi membuat persediaan untuk membantu penyelamat sedia ada di sesebuah lokaliti yang dilanda banjir,” katanya pada Majlis Perbarisan Komander dan Pemeriksaan Kelengkapan Operasi Pegawai dan Anggota SMART bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di pusat SMART, Pulau Meranti hari ini.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pertengahan November ini hingga Mac tahun depan.

Antara aset yang akan digunakan bagi menghadapi musim banjir seperti 10 trak, 10 bot pelbagai guna, enam kenderaan ‘all terrain vehicle’ (ATV) dan dua jentolak.

“SMART sudah bersiap sedia sejak awal bulan ini dan sentiasa merujuk kepada METMalaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini berkenaan cuaca,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button