Alasan PAS enggan bubar DUN hanya mengaburi mata rakyat

KUALA TERENGGANU – Alasan Pas tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana mahu memberi tumpuan persiapan menghadapi musim tengkujuh dan pemulihan ekonomi sekadar mengaburi mata rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, alasan faktor banjir yang digunakan itu hanya mahu menunjukkan kononnya hanya Pas yang peka dan prihatin dengan nasib rakyat.

Menurutnya, Pas sebagai sebuah parti politik tentu sekali akan mengambil bahagian di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mereka turut akan bertanding di kerusi Parlimen.



“Adakah mereka akan menggerakkan jentera untuk persiapan pilihan raya atau mereka sekadar meletakkan calon sahaja kerana mereka ‘sibuk’ membuat persiapan musim tengkujuh?

“Adalah mustahil untuk mereka sekadar meletakkan calon dan tidak menggerakkan jentera mereka secara maksimum,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika Pas tidak membubarkan DUN di tiga negeri itu, ia membawa maksud Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengadakan PRN berasingan.

Wan Hisham berkata, implikasi PRN berasingan bererti menambah lagi penggunaan duit rakyat yang sepatutnya boleh dijimatkan.



“Jika benar Pas ikhlas hendak memulihkan ekonomi pasca Covid-19, membuat PRN berasingan bukan jawapannya. Ia akan membebankan lagi kewangan kerajaan yang sepatutnya boleh digunakan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi.

“Untuk sekian kalinya, berhentilah bermain berpolitik yang tidak berkesudahan dan biarkan rakyat bergerak maju kehadapan dengan aman dan makmur mencari rezeki.

“Pilihan yang ada ialah tambah satu lagi kertas undi DUN masa PRU atau kita membazir waktu dan wang ringgit rakyat untuk memuaskan nafsu memegang jawatan Menteri Besar dan Exco untuk beberapa bulan sahaja lagi berbaki.

“Apa-apa keputusan pun yang dibuat kerajaan Pas, kita (UMNO Terengganu) bersedia menghadapinya,” katanya.



Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button