DUN Perlis dijangka bubar lusa

PADANG BESAR: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dijangka dilakukan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) AntiLompat Parti, pada sidang DUN, Khamis ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata pembentangan berkenaan diadakan terlebih dahulu pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima DUN Perlis yang ke-14.

“Pada 13 haribulan (Khamis ini), kita akan mengadakan sidang DUN yang bertujuan untuk membawa pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri, berkaitan ahli DUN dengan parti politik yang berkenaan, supaya bersesuaian dengan pindaan yang dilakukan oleh Perlembagaaan negara.

“Insya-Allah, saya akan mempersembah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, tarikh yang bersesuaian untuk dibuat pembubaran DUN supaya kita dapat mengadakan Pilihan Raya Negeri bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dokumen Tanah Hak Milik Kerajaan di Negeri Perlis di FELDA Chuping, di sini hari ini.

Katanya, sembahan maklum mengenai pembubaran kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu akan dibuat dalam masa terdekat dimana ia dijangka akan dilakukan selepas pembentangan RUU berkenaan.

“Walaupun DUN Perlis sudah terbubar nanti, pewartaan atau pengazetan RUU Anti Lompat Parti itu boleh dilaksanakan selepas Tuanku Raja Perlis memperkenankan RUU berkenaan.

“Kita harapkan Undang-Undang Tubuh Negeri yang kita buat pindaan ini akan terpakai kepada wakil rakyat yang akan terpilih dalam PRU-15 ini,” katanya.

Terdahulu, Azlan menyerahkan dokumen tanah kepada 447 peneroka asal FELDA Chuping di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker