Era Klopp bakal berakhir
London: Dietmar Hamann bimbang era Jurgen Klopp di Liverpool mungkin akan berakhir.
Bekas pemain tengah The Reds itu dapat melihat keretakan di kelab semakin terserlah dan percaya detik gemilang pasukan itu semakin pudar.
Hamann, 49, yang beraksi selama tujuh tahun di Anfield sehingga 2006, bimbang dengan pelbagai isu ketika Liverpool tewas 2-3 di Arsenal.
“Dia (Klopp) berkata bahawa dia masih merasakan individu yang tepat untuk membimbing Liverpool, tetapi saya melihat perkara kecil seperti Jordan Henderson dengan berat hati menanggalkan lilitan lengannya dan kemudian menggelengkan kepalanya.
“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat di Liverpool selama lima tahun lalu. Mungkin ini adalah petanda kecil bahawa ada yang mempunyai sedikit masalah dengan pasukan atau pun pengurus.
“Suasana di Liverpool tidak berbeza dengan tempat lain dan jika tiada keputusan yang baik, maka pengurus akan berada di bawah tekanan,” katanya.
Liverpool beraksi 63 perlawanan musim lalu dan mereka mempunyai peluang untuk memenangi empat trofi tetapi menduduki tempat kedua di belakang Manchester City di saingan Liga Perdana sebelum tewas final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.
Hamman memberitahu talkSPORT: “Sebagai sebuah pasukan besar, anda sentiasa melalui proses peralihan dan mereka berada di kedudukan teratas sejak tiga atau empat tahun lalu. Apa yang mereka capai pada tahun lalu adalah yang terbaik.
“Saya rasa ia tidak mampu dicapai lagi kerana dari segi psikologi, ia akan sentiasa sukar musim ini.”
METRO