Griezmann kekal di Atletico hingga 2026

MADRID: Antoine Griezmann hari ini mengesahkan bahawa status pinjaman dari Barcelona sudah menjadi perpindahan tetap apabila dia menandatangani kontrak bersama Atletico Madrid hingga 2026.

Penyerang itu sudah kembali ke Metropolitano sejak tiba secara pinjaman pada Ogos 2021 berikutan musim sukar di Camp Nou selepas berhijrah dari Atletico pada 2019.

“Saya sangat gembira kerana itu yang saya mahukan sejak kembali,” kata Griezmann menerusi video diterbitkan Atletico di media sosial mereka.

“Untuk kekal di Atletico, gembira berada di kelab ini, bersama jurulatih, rakan sepasukan, stadium, penyokong, saya lakukan apa sahaja untuk kekal di sini.

“Apabila saya melihat ada peluang untuk kekal bagi tempoh yang lama, saya bercakap dengan kelab. Saya tahu apa yang mereka mahukan daripada saya, saya tidak berfikir panjang. Saya tidak kisah apa yang saya perlu lakukan. Perkara utama yang saya mahukan ialah kekal di sini.”

Laporan di Sepanyol berkata bahawa pemain berusia 31 tahun itu bersetuju mengurangkan gaji diterimanya di Barcelona untuk terus kekal.

“Saya akan berikan apa sahaja buat kelab saya, kepercayaan diberikan jurulatih, penyokong, Atletico,” kata Griezmann.

“Saya akan memberikan apa sahaja buat lencana ini. Saya mungkin akan terlepas peluang, atau hantaran, tapi saya akan berikan apa sahaja hingga penamat, seboleh mungkin. Saya mahu ia dilihat dan dirasai.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker