Kepala kanak-kanak terhentak di lantai berbahaya

Sebagai ibu bapa, pernah tak kalian berhadapan dengan situasi yang begitu mendebarkan apabila anak jatuh sehingga menyebabkan kepala mereka terhentak di lantai.

Memang kecut perut dibuatnya, bukan?

Kejadian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran dekat Taman Sutera, Johor Bahru baru-baru ini adalah satu insiden yang menakutkan.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, kanak-kanak itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran sebelum terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.

Insiden terbabit turut disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta.

Namun, atas nasihat doktor, si kecil itu dihantar terus ke hospital berikutan kondisinya serius.

Pun begitu, semuanya berlaku di luar jangkaan dan tidak seharusnya mak ayah menyalahkan diri sendiri.

Menurut Stanford Medicine Children’ s Health, statistik kanak-kanak di Amerika Syarikat yang jatuh sehingga memerlukan rawatan doktor kebanyakannya disebabkan terjatuh dari perabot, baby walker, tangga, tingkap dan taman permainan.

Beritahu laman perubatan itu, dianggarkan lebih daripada 2 juta kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah telah dirawat di hospital kerana kecederaan berkenaan.

Bukan itu sahaja, dikatakan hampir separuh daripada kes tersebut adalah kanak-kanak berusia kurang daripada empat tahun.

SinarPlus kemudiannya merujuk satu perkongsian Pegawai Perubatan, Hospital Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari, yang menceritakan kisah beliau berhadapan dengan kejadian anaknya yang berusia tiga tahun jatuh dari kerusi.

Ujar Dr Ahmad Luqman, permata hatinya itu menangis dengan begitu nyaring kerana bahagian kanan kepala telah terhentak di atas lantai.

“Jantung saya sewaktu itu memang berdebar kencing sebab saya tahu kecederaan yang melibatkan kepala ini memang tak boleh dibuat main-main.

“Mulalah saya terbayangkan satu kes yang pernah saya terima iaitu tempurung kepala pesakit retak akibat terhentak,” katanya.

Tambahnya, walaupun luaran kepala tidak menampakkan kesan luka atau bengkak yang teruk, tetapi kesan dalamannya tiada siapa yang tahu.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Luqman meminta ibu bapa memerhatikan kesihatan anak-anak selepas mereka jatuh dan bawa ke hospital jika mereka alami gejala bahaya seperti berikut :-

i) Muntah-muntah yang berterusan.
ii) Sawan.
iii) Tidak sedarkan diri atau pengsan.
iv) Kanak-kanak tiba-tiba mengantuk yang teramat sehingga hampir tidak sedarkan diri.
v) Ada benjolan yang terlampau besar pada kepala.
vi) Luka yang begitu dalam dan darah mengalir keluar.
vii) Anggota tubuh anak-anak menjadi lemah.
viii) Ada cecair atau darah keluar daripada hidung atau telinga.
ix) Anak mengadu sakit kepala yang dasyat.
x) Penglihatan menjadi kabur.

Beritahu Dr Ahmad Luqman, sekiranya anak-anak mengalami gejala tersebut, berkemungkinan besar terdapat kecederaan pada otak.

Justeru, dalam tempoh 24 jam selepas anak terjatuh adalah waktu yang kritikal untuk ibu bapa memantau dan bertindak dengan segera demi kesejahteraan anak tersayang.

© Sinarplus

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker