Bumi Argentina berpesta!

Buenos Aires: Rakyat Argentina menyanyi dan bergembira selepas wira negara itu, Lionel Messi memberi inspirasi kepada pasukannya untuk menang 3-0 ke atas Croatia di Qatar, hari ini sekali gus mara ke pentas final Piala Dunia.

“Kami menang! Saya sayang Argentina,” jerit seorang pesara, Pablo Cardozo, 74, yang menyaksikan perlawanan di depan kaca televisyen di sebuah kafe dekat Buenos Aires.

Berpuluh-puluh orang di kafe itu bangkit dari tempat duduk mereka dan menyanyikan lagu popular Piala Dunia Argentina: “Muchachos, ahora nos volvimos a ilusionar” dinyanyikan oleh band ska La Mosca.

Cardozo menjerit sehingga suaranya menjadi serak apabila meraikan setiap gol Argentina iaitu penalti Messi dan kemudiannya dua gol sumbangan penyerang muda, Julian Alvarez.

“Saya sayang Julian!” jerit Emilia Salvo, 23, manakala Gabriela Perdiguez, 26, pula menambah: “Saya tidak dapat menahan keseronokan ini lagi, ia adalah mimpi menjadi kenyataan!”

Kumpulan pelajar pula meraikan kejayaan itu di kawasan kejiranan universiti dekat Barrio Clinicas.

Delfina Yacoy, 22, seorang pelajar perubatan yang mengagumi Alvarez berkata: “Ia adalah perlawanan yang sangat sukar, kedua-duanya adalah pasukan yang hebat.”

“Ia nampak lebih sukar berbanding perlawanan lain. Croatia baru saja menyingkirkan Brazil,” kata Clara Cerdeira 20, seorang lagi pelajar yang menyaksikan perlawanan itu di skrin gergasi.

Di seluruh Argentina, peminat menyaksikan perlawanan di skrin gergasi dan melepaskan kegembiraan mereka setiap kali gol dijaringkan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker