LTdL 2022: Jalan Ampang, P Ramlee ditutup esok

KUALA LUMPUR: Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee di sini akan ditutup esok bagi memberi laluan kepada perlumbaan berbasikal edisi ke-26 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 peringkat pertama dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) di sini.

Menurut penganjur LTdL 2022, Human Voyage, Jalan Ampang akan ditutup dari jam 10 pagi hingga 6 petang manakala Jalan P Ramlee dari jam 3 petang hingga 5 petang.



“Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal esok dengan menggunakan jalan alternatif atau pengangkutan awam serta mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota polis trafik bertugas demi keselamatan dan kelancaran aliran trafik,” kata kenyataan berkenaan.

LTdL 2022 sejauh 1,096.9 kilometer itu, bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya), Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim), Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar), Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Loop Langkawi).

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button