Pelabur tunggu hala tuju lebih jelas kestabilan politik

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan memberi kejelasan kepada pelabur mengenai kestabilan politik di negara ini.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata aktiviti dagangan di Bursa Malaysia dijangka lebih baik disokong kemungkinan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh terdekat, sekali gus mendorong rali pra-PRU dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman yang lalu, pasaran saham tempatan akan mencatatkan rali pra-PRU dan adalah diharapkan keadaan yang sama berlaku kali ini, sekali gus akan menyokong pasaran secara positif di tengah-tengah ketidaktentuan luaran.

“Kami jangka aktiviti dagangan lebih baik bagi dua suku tahunan akan datang. Kemungkinan PRU-15 dan pengurangan kenaikan kadar di Amerika Syarikat (AS) akan memberi sedikit kestabilan di bursa serantau dan tempatan.

“Justeru, kita harus melihat dana asing untuk menyediakan kecairan yang diperlukan dalam pasaran, sekali gus FBM KLCI mungkin mencecah paras 1,580 menjelang akhir tahun,” katanya pada taklimat media tinjauan pasaran suku keempat dan Bajet 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yee berkata, prestasi bursa tempatan sangat terkesan oleh ketidaktentuan global terutama dari AS dan faktor luaran yang tidak menentu dijangka kekal mempengaruhi pasaran menuju ke depan.

Beliau berkata, pengumuman Bajet 2023 pada minggu lalu, yang mana menyaksikan peruntukkan rekod tertinggi bagi pembangunan berjumlah RM95 bilion memberi sokongan kepada sektor pembinaan.

“Seperti yang kita tahu, sektor pembinaan menawarkan kesan limpahan yang besar dan positif kepada sub-segmen yang lain.

“Walaupun sumbangan sektor pembinaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak banyak, namun ia penting sebagai pemacu pertumbuhan,” katanya.

Rakuten Trade menjangkakan sektor lain yang turut mendapat sokongan positif ialah automotif, pengguna, hartanah dan teknologi.

Mengenai prestasi ringgit, Yee berkata, pihaknya percaya mata wang tempatan itu akan kekal pada paras RM4.50/60 sehingga akhir tahun ini berikutan kenaikan agresif kadar faedah AS yang mengukuhkan dolar AS.

Namun begitu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan ringgit akan mengukuh kepada sekitar RM4.10/RM4.20 pada separuh kedua 2023 sejajar dengan pemulihan pasaran.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker