Polis kesan enam kain rentang tentang politik berbentuk provokasi

KOTA TINGGI – Sebanyak enam kain rentang berbentuk provokasi memaparkan ketidakpuasan berhubung isu politik dan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dikesan digantung di enam lokasi awam di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan itu.

“Pada Isnin, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi telah berjaya mengesan enam tempat awam yang digantung kain rentang mengenai ketidakpuasan hati penduduk mengenai isu politik dan calon PRU15.



“IPD Kota Tinggi memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang ingin menggantung sebarang kain rentang atau sebagainya perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Daerah Kota Tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mana-mana individu atau kumpulan tidak mencetuskan provokasi yang akan mengganggu gugat keamanan daerah Kota Tinggi.

“Polis boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini,” katanya.



© Sinar Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button