Prestasi cemerlang di Taiwan motivasi Harrif pada LTdL

SHAH ALAM: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Harrif Saleh akan membawa momentum tiga penamat di pentas podium di Tour de Taiwan baru-baru ini pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadual membuka tirainya di Kuala Pilah, esok.

Harrif yang meraih satu kemenangan dan dua tempat kedua di Tour de Taiwan berada dalam keadaan terbaik untuk menjelmakan kejutan di LTdL 2022 – perlumbaan yang pernah menyaksikan dia meraih tiga kemenangan masing-masing pada 2019 dan 2020.

Begitupun, pelumba senior pasukan yang berusia 34 tahun itu tidak mahu terlalu meletakkan dalam keadaan selesa apatah lagi LTdL kali ini disertai enam pasukan Jelajah Dunia, Pro Benua dan Benua yang tentunya memberikan persaingan hebat.

“Baru-baru ini, saya ada meraih kemenangan di podium,” kata Harrif dalam sidang media menjelang LTdL 2022 hari ini. “Saya akan cuba untuk membawa apa yang di Taiwan ke sini dan saya akan cuba yang terbaik seperti di Taiwan.”



Harrif yang turut mengecap beberapa kejayaan lain seperti di Tour de Thailand dan Grand Prix Justiniano Hotels tahun ini berkata, dia tidak mahu memandang rendah akan kemampuan pesaing pada kali ini.

“Perlumbaan tahun ini saya rasa berbeza. Kita ada enam pasukan Jelajah Dunia, Pro Benua dan Benua pada kali ini. Jadi perlumbaan bagi tahun ini agak mencabar kerana kita dapat lihat sudah dua tahun tak ada perlumbaan LTdL disebabkan COVID-19.

“Jadi saya kena memahami situasi untuk berlumba dengan pasukan Jelajah Dunia ini yang tak sama seperti dengan (edisi) sebelum ini. Oleh itu, saya kena buat yang terbaik pada tahun ini,” katanya.

TSG dibarisi enam pelumba iaitu Anatolii Budiak, Metkel Eyob, Jambaljamtsz Sainbayar, Youcef Reguigui, Hariff, Muhammad Nur Aiman Mohd Zarrif yang juga pelumba termuda TSG dan pernah memenangi gelaran Raja Bukit LTdL 2020.



LTdL 2022 sejauh 1,096.9 kilometer itu, bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya), Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim), Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar), Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Loop Langkawi).

Edisi ke-26 itu menjanjikan saingan sengit dengan penyertaan enam pasukan Jelajah Dunia iaitu UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker