Skuad negara sedia berikan saingan sengit perlumbaan LTdL

KUALA LUMPUR: Walaupun sedar berdepan cabaran sukar tetapi ia tidak melunturkan semangat skuad berbasikal negara yang bertekad untuk memberikan persaingan sengit pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang bermula esok.

Ketua jurulatih negara, Mohd Yusof Nasir, berkata dengan dibarisi pelumba muda, mereka akan cuba untuk menampilkan aksi konsisten pada setiap peringkat sekali gus menyaingi beberapa pasukan pilihan pada edisi kali ini.

“Kami akan cuba yang terbaik dan akan bersaing semampu yang boleh dalam perlumbaan kali ini. Bila ada enam pasukan Jelajah Dunia, jadi dalam setiap perlumbaan memang mereka yang akan dominasi. Perlumbaan kali ini akan jadi seperti di Eropah,” katanya.

Pada perlumbaan tahun ini, hanya tinggal dua pasukan negara bersaing termasuk pasukan bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) selepas juara bertahan dua kali, Team Sapura Cycling dilarang menyertainya oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Sapura dikenakan tindakan berkenaan selepas lewat menjelaskan bayaran 3,500 swiss francs (RM16,304) sebagai sebahagian komitmen mereka terhadap program anti doping yang diusahakan UCI.

Sementara itu, Mohd Nasir yang diminta mengulas mengenai perlumbaan peringkat pertama esok membabitkan dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km), mengakui ia mungkin akan memberi sedikit cabaran kepada barisan pelumba negara.

“Pada saya agak mencabar sebab ia membabitkan kan dua bukit dan kalau mahu memecut itu agak merbahaya tetapi kami tetap akan cuba duduk dalam kelompok yang terbaik.

“Secara keseluruhan pasukan dalam keadaan baik dan bebas daripada sebarang masalah. Pelumba juga sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal,” katanya.

Pelumba yang akan menggalas cabaran negara pada LTdL kali ini ialah Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri, pelumba kembar Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan pelumba muda, Kee Zha Yie.

Dua lagi pelumba, Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat Abdul Aziz diletakkan dalam senarai simpanan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker