Tidak suka di zon selesa, petua Nur Azam jadi jutawan



KUALA LUMPUR – Bapa empat anak, Nur Azam Zamberi, pada mulanya hanyalah pekerja ‘makan gaji’ sebagai pembantu Teknologi Maklumat (IT) dan penyelia di sebuah kilang, bagaimanapun semua itu berubah ketika dia menginjak usia 31 tahun.

Nur Azam, 42, berjaya merealisasikan impiannya bergelar jutawan ketika usianya baru dalam lingkungan 30-an dan kini menyandang jawatan Pengarah Agensi Kumpulan di sebuah syarikat takaful terkemuka.

Berkongsi resipi kejayaannya, Nur Azam berkata, dia tidak suka berada di zon selesa walaupun ada gaji tetap jadi cuba lakukan kerja sambilan sebagai ejen takaful ketika bekerja di kilang lagi.

Dia melakukan kerja itu selama setahun dengan niat menambah pendapatan sebelum berhenti untuk fokus sebagai ejen takaful sepenuh masa.



“Saya bukan pakar dalam bidang kewangan namun gemar membaca dan ke seminar bagi menambah ilmu berkaitan kaedah pengurusan wang yang betul. Daripada situ, saya dapat ilmu dan kongsikan dengan rakan sekerja. Ini kerana di kilang dahulu, ramai mempunyai masalah kewangan malah ada yang kahwin gunakan kad kredit.

“Selain minat dan mahu menambah pendapatan, saya ceburi bidang takaful kerana nampak ia ada masa depan untuk jangka masa panjang serta ada potensi merealisasikan cita-cita saya menjadi jutawan. Lagipun, saya mahu ubah nasib keluarga memandangkan datang daripada keluarga sederhana saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sepanjang 14 tahun menceburi bidang kewangan dan takaful, banyak cabaran dilaluinya terutama ketika berusaha mendapatkan prospek pelanggan.

Bagaimanapun, Nur Azam menganggapnya sebagai lumrah dan asam garam yang perlu ditempuh.



“Ketika awal dulu, memang banyak dugaannya malah tidak semua prospek ditemui setuju dan bersungguh untuk ambil takaful. Ada yang sudi berjumpa untuk dengar penerangan tetapi akhirnya tidak berminat tetapi di situ pentingnya sabar

“Alhamdulillah, keluarga terutama isteri banyak menyokong dan setakat ini, penerimaan orang sekeliling juga baik. Persepsi masyarakat terhadap insuran juga berubah selepas Covid-19 kerana kini, lebih ramai yakin untuk mengambil pakej perlindungan diri yang boleh memberi manfaat kepada mereka jika ditimba musibah,” katanya.

Selain pencapaian diri, Nur Azam berkata, syarikatnya juga memenangi anugerah prestij sulung iaitu Best Digital Agency baru-baru ini.

Katanya, syarikatnya turut menerajui agensi Million Ringgit dan melahirkan ramai ejen bertaraf ‘Malaysia Million Dollar Round Table’ (MDRT) selama 13 tahun berturut-turut selain ada sistem interaktif memudahkan hubungan ejen dan pelanggan.



Berkongsi hala tujunya, Nur Azam berkata, dia berhasrat membantu lebih ramai anak muda untuk berjaya.

“Dalam masa terdekat, saya mahu rekrut 100 lagi orang baru, kalau boleh mahu beri peluang kepada anak muda. Ia menerusi skim gaji kerja sambilan dikenali BESMART yang boleh memberi mereka elaun tetap RM1,000 dan komisyen ,” katanya.

© Harian Metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker