‘Saksi misteri’ akan ikrarkan afidavit sokong permohonan Najib

Oleh – Syeikh Baran


'Saksi misteri' akan ikrarkan afidavit sokong permohonan Najib
NAJIB diiringi masuk ke mahkamah. FOTO Aswadi Alias

Seorang ‘saksi kritikal’ yang belum didedahkan akan mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum (tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.

Dalam prosiding permohonan kes di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, yang dijadualkan mendengar permohonan bekas pemimpin Umno itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Amarjeet Singh, bahawa saksi terbabit kini berada di Tanah Suci Makkah.



Sehubungan itu, Muhammad Shafee memohon pendengaran permohonan anak guamnya ditangguhkan kepada 17 April ini sebaik individu itu pulang ke Malaysia selepas Aidilfitri untuk menandatangani afidavit sokongan berkenaan.

Amarjeet kemudian membenarkan permohonan Muhammad Shafee dan turut mengarahkan supaya hujahan bertulis difailkan pada 15 April.

Dalam prosiding secara ex-parte itu (sebelah pihak), Peguam Negara yang dinamakan Najib sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly.

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding, Muhammad Shafee enggan mendedahkan ‘saksi misteri’ itu.



Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.



Najib juga memohon perintah supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button