10,000 anggota SAY siap sedia depani banjir

Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) bersiap sedia untuk menggerakkan 10,000 anggota Sukarelawan YADIM (SAY) di seluruh negara bagi membantu menangani musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara terutama ketika berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, kehangatan PRU-15 tidak seharusnya kebajikan rakyat yang berhadapan musibah terabai serta tidak mendapat pembelaan.

Katanya, SAY di seluruh negara sudah bersiap sedia turun padang sekiranya diperlukan.

“Pejabat YADIM negeri juga telah diarahkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan segera bertindak bersama sukarelawan sekiranya berlaku banjir,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, SAY terlibat dalam pelbagai program membantu rakyat, khususnya ketika berhadapan musibah banjir melalui perkhidmatan penyediaan dapur rakyat, menyalurkan sumbangan dan khidmat pemulihan tempat kediaman serta fasiliti awam.

Selain itu, dilaporkan, SAY Pulau Pinang dan Sarawak juga telah menerima latihan asas Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) bagi memberi

pendedahan tentang aspek bantuan kepada masyarakat ketika berlaku bencana.

Tuan Kamarul berkata, anggota SAY di negeri lain juga bakal menerima latihan yang sama bagi memantapkan kemahiran dan pengalaman dalam diri mereka.

Menurutnya, sukarelawan yang terlatih ini akan digerakkan ke kawasan yang dilanda bencana di seluruh negara.

Katanya, YADIM juga telah mengaktifkan bilik gerakan banjir di ibu pejabat di sini bagi mengatur sebarang inisiatif membantu mangsa.

“Bilik gerakan ini pernah digunakan untuk menyelaras gerak kerja bantuan YADIM ketika bencana banjir pada 2020 dan 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Kamarul menyeru orang ramai untuk membantu YADIM dalam program bantuan banjir

menerusi sumbangan kepada Tabung Infaq YADIM.

Maklumat lanjut berkenaan sumbangan boleh didapati di laman web dan Facebook rasmi YADIM.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker