372 mangsa bencana di 4 PPS di Sabah

Kota Kinabalu: Seramai 372 mangsa bencana ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Sabah, setakat pagi ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah setakat 8 pagi ini, pemindahan paling ramai ialah mangsa kebakaran di Kudat iaitu seramai 250 orang daripada 52 keluarga.

Mereka terdiri daripada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Kapor yang dilapor memusnahkan kira-kira 40 rumah penduduk, awal pagi kelmarin.

Semua mangsa kini masih ditempatkan di PPS di Rumah Rehat Kudat sejak hari kejadian, Isnin lalu.

Sementara itu, seramai 122 mangsa lagi terdiri daripada penduduk yang dipindahkan akibat banjir di tiga daerah iaitu Putatan, Papar dan Beaufort.

Daerah Putatan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi yang dipindahkan setakat ini dengan 61 orang daripada 11 keluarga.

Mereka dipindahkan di PPS Dewan Sri Keramat, Putatan, sejak Isnin lalu berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kampung sekitar daerah itu.

Di Beaufort, seramai 51 mangsa daripada 19 keluarga masih berada di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir membabitkan penduduk terjejas banjir yang dipindahkan dari beberapa kampung di daerah kecil Membakut.

Selebihnya, seramai 10 mangsa banjir daripada dua keluarga di daerah Papar, masih berada di PPS Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) setakat pagi ini.

Sebelum ini, beberapa penduduk mangsa banjir turut dipindahkan di sebuah lagi PPS di daerah Penampang pada Isnin lalu, namun sudah ditutup selepas keadaan banjir pulih sejak petang semalam.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker