Arab Saudi mansuhkan kewajipan bawa mahram untuk jemaah wanita

RIYADH – Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Al-Rabiah mengumumkan jemaah wanita yang ingin menunaikan ibadah haji dan umrah tidak lagi diwajibkan membawa mahram (saudara kandung lelaki) sebagai peneman, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Kelonggaran tersebut tertakluk kepada semua wanita dewasa yang ingin pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dari mana-mana bahagian dunia.

Tawfiq menamatkan kontroversi yang berlarutan mengenai sama ada mahram diperlukan untuk mengiringi jemaah wanita atau tidak pada sidang media di Kedutaan Arab Saudi di Kaherah, Mesir.

“Mana-mana orang Islam yang datang ke Arab Saudi dengan apa-apa jenis visa boleh menunaikan umrah,” katanya.



Beliau juga menegaskan bahawa kelonggaran terbaharu itu adalah salah satu bentuk kesungguhan Arab Saudi untuk mengurangkan kos mengerjakan haji dan umrah.

Menteri itu turut merujuk kepada usaha kerajaan baru-baru ini berhubung pengenalan dan penggunaan teknologi moden dan pendigitalan perkhidmatan yang disediakan kementerian kepada mereka yang ingin melawat Dua Masjid Suci.

“Ini termasuk menggunakan robot untuk menyediakan beberapa perkhidmatan kepada jemaah haji serta membangunkan platform Nusk, yang menyediakan banyak kemudahan untuk jemaah dan pengunjung Masjidil Haram.

“Bakal jemaah boleh menempah permit umrah melalui platform dalam tempoh yang singkat dan selepas itu, visa boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam,” tambahnya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button