Chelsea tewaskan Milan
MILAN: Chelsea mengambil langkah besar untuk ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi menerusi kemenangan 2-0 di AC Milan yang membawa mereka ke persada Kumpulan E dan mengecewakan kelab Itali itu.
Skuad kendalian Graham Potter mengawal perlawanan di San Siro berdepan Milan yang terpaksa bermain sebahagian besar aksi dengan 10 pemain selepas Fikayo Tomori terus dilayangkan kad merah kontroversi pada awal permainan.
Keputusan melayangkan kad merah buat Tomori kerana mengasari Mason Mount pada minit ke-18 menukar rentak permainan ketika Milan sebelum itu berjaya menyamai aksi Chelsea pada peringkat awal.
Jurulatih Milan, Stefano Pioli terus tenang selepas kekalahan itu tetapi kemudiannya memberitahu wartawan: “Saya tidak rasa pengadil itu melalui malam yang lebih baik.”
Pemain tengah Itali, Jorginho meledak menerusi penalti dan Pierre-Emerick Aubameyang tenang menjaringkan gol 11 minit sebelum rehat yang menamatkan kekentalan Milan dan membawa Chelsea satu mata di depan Salzburg dalam kumpulan berkenaan.
“Ia mengubah permainan dalam aspek apa yang Milan mahu lakukan, tapi bagi kami perlu mengambil kesempatan. Ia bukanlah mudah berdepan 10 pemain, terutama di sini,” kata Potter.
“Ia adalah saat yang besar, kami masih merasakan kami boleh melakukannya dengan 11 lawan 11 tetapi pengadil sudah membuat keputusan dan perlu melaluinya.”
Ia adalah pertukaran nasib yang pantas buat Chelsea, yang berada di kedudukan terbawah kumpulan menjelang pertemuan pertama dengan Milan di Stamford Bridge minggu lalu dan kini sedang mendahului selepas menang kali keempat dalam semua kejohanan.
Dua kekalahan berturut-turut kepada Chelsea meletakkan Milan di tangga ketiga dan mereka masih perlu bertarung untuk ke peringkat kalah mati buat pertama kami sejak musim 2013-14.
Skuad kendalian Pioli kini dua mata di belakang tempat untuk layak dan kunjungan ke Dinamo Zagreb dan Salzburg akan menentukan nasib mereka dalam kejohanan ini.
“Saya tidak rasa ada sebarang persoalan yang saya perlu beri motivasi kepada pemain saya,” kata Pioli.
“Kami perlu bersedia sebaik mungkin untuk perlawanan di Zagreb dan saya akan lakukan yang terbaik.”
AFP