City ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara



COPENGHAGEN: Pep Guardiola mengakui Manchester City “sangat letih” selepas skuadnya yang bermain 10 orang layak ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas seri 0-0 berdepan FC Copenhagen awal pagi tadi.

Skuad kendalian Guardiola menyaksikan jaringan Rodri dibatalkan VAR sebelum Sergio Gomez dilayangkan kad merah kerana kekasaran di Stadium Parken.

Penyerang City, Riyad Mahrez juga gagal menyempurnakan penalti selepas Gomez diarahkan keluar padang pada babak pertama.

Ketika Erling Haaland direhatkan menjelang kunjungan City ke Liverpool Ahad ini, juara bertahan Liga Perdana itu gagal menemui gawang buat pertama kali dalam 24 perlawanan semua kejohanan.



City perlu berpuas hati dapat mengelak kekalahan selepas bermain 10 orang selama sejam.

Skuad kendalian Guardiola mendapat habuan sejam kemudian apabila mereka mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati berbaki dua perlawanan selepas Borussia Dortmund seri 1-1 bertemu Sevilla dalam satu lagi aksi Kumpulan G.

“Bermain sejam seperti ini amat mencabar. Pemain memberikan semuanya,” kata Guardiola.

“Ia mata yang bagus dan kami mengambilnya. Saya sangat berpuas hati. Esok kami akan kembali cergas dan kami ada dua hari bagi bersedia menghadapi Liverpool.”



City dilihat kurang tajam tanpa Haaland, yang menjaringkan 20 gol dalam 12 aksi kompetitif sejak meninggalkan Dortmund pada penutup musim.

Haaland menjaringkan dua gol hanya dalam tempoh 45 minit ketika menang 5-0 mengatasi Copenhagen, tetapi Guardiola mungkin menjangkakan pasukannya boleh mendominasi kelab kerdil Denmark itu tanpa kehadirannya.

Guardiola berkata dia mahu memberikan Haaland rehat kerana penyerang itu sudah menunjukkan tanda kelesuan selepas kemenangan berdepan Southampton, Sabtu lalu.

“Dia menamatkan aksi berdepan Southampton dengan sangat penat dan tidak pulih dengan baik. Semalam dia tidak bagus, hari ini lebih baik tetapi tidak sempurna, jadi kami mengambil keputusan untuk tidak mengambil risiko,” kata Guardiola.



“Saya memikirkan mengenai tahap tenaga. Ramai pemain tidak memulakan perlawanan kerana mereka sangat letih dan lesu.

“Phil Foden juga ada masalah sama dan Bernardo Silva sangat letih semalam, dia beritahu kami. Pemain yang saya turunkan berasa lebih baik.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker