372 peserta sahut cabaran Gunung Angsi Forest Challenge 2022

KUALA PILAH: Kerajaan negeri akan memperbanyakkan aktiviti sukan lasak termasuk mendaki gunung sebagai acara menarik pelancong, selain memperkenalkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata aktiviti sukan berkenaan yang menjadi trend masa kini dilihat mampu memberi impak positif kepada kemajuan sektor pelancongan negeri.

Katanya, ini jelas apabila acara pendakian Gunung Angsi Forest Challenge 2022, sebagai satu daripada cabang sukan berkenaan terbukti berjaya apabila dapat menarik penyertaan 372 peserta termasuk 27 peserta dari luar negara.



“Kami menerima peserta dari 13 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Jepun, Mesir dan China, selain rakyat tempatan.

“Penyertaan peserta luar negara amat digalakkan yang mana pengalaman mereka sepanjang berada di Negeri Sembilan akan menjadi medium promosi yang sangat efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah Gunung Angsi Forest Challenge 2022 di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, di sini, petang semalam.

Yang turut hadir, barisan EXCO Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek dan Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin.



Aminuddin berkata, hasrat kerajaan negeri untuk meletakkan negeri ini sebagai satu destinasi pelancongan utama di Malaysia dan dikenali di luar negara.

Beliau berkata, kelebihan lokasi Negeri Sembilan yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta keunikan adat rakyatnya dan pantai peranginan Port Dickson, selain gunung-ganang serta bukit-bukau, menjadi pakej tarikan pelancong.

“Usaha mengintegrasikan segala keindahan ini sentiasa diberikan bagi meletakkan Negeri Sembilan dalam kalangan kelompok teratas destinasi pelancongan pilihan,” katanya.

Sementara itu, Saleh berkata, program berkenaan dianjurkan sempena sambutan bulan sukan kebangsaan.



Beliau berkata, ia diadakan buat kali kedua dengan sedikit pembaharuan membabitkan trek laluan baharu yang lebih mencabar, selain acara larian yang bermula jam 3 pagi.

Katanya, ia membabitkan empat kategori larian iaitu trek sepanjang 50 kilometer (km), 25km, 13km dan 6km.

“Selain peserta luar negara, penyertaan tempatan antaranya dari Kedah, Johor, Melaka, Selangor dan Pahang,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button