Fesyen busana sopan kini semakin mendapat tempat

Fesyen busana sopan kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna sekali gus mampu memartabatkan industri pakaian tempatan ke tahap lebih tinggi.

Busana sopan terkenal di Malaysia, Zucca, umpamanya komited menyasarkan untuk mencapai nilai pasaran antarabangsa jenama itu sebanyak RM1.29 trillion menjelang 2024.

Serentak itu, pengasas bersama Zucca, Erica Yap, berkata pihaknya akan terus memastikan kos pembuatan masih berpatutan dalam usaha untuk kekal peka mengenai perubahan trend terkini.

Katanya, ia termasuk menggunakan algoritma perdagangan sosial dan maklum balas pelanggan secara langsung, selain mengeluarkan rekaan baharu berdasarkan trend terkini.



“Keajaiban fesyen masa ini membolehkan kita mengetahui fesyen mana yang menjadi pilihan pelanggan dan mengapa. Lazimnya, pelanggan lebih menginginkan material yang lebih selesa, katanya.

Erica berkata, dengan kebolehan menghasilkan koleksi busana yang mengikut fesyen terkini hanya dalam beberapa hari, juga sekali gus dapat memenuhi koleksi yang inklusif dan sesuai untuk demografik wanita Malaysia yang peka terhadap trend terkini.

Katanya, sebagai sebahagian daripada pendekatan mereka, pihaknya juga aktif menyokong pengilang pakaian kecil dan sederhana tempatan untuk bekerjasama menghasilkan pakaian ‘prototaip’ bagi mendapatkan maklum balas awal.

“Kita sering memperjuangkan slogan ‘You Deserve to Shine’ bagi menolak stereotaip busana sopan selalunya selekeh, sebaliknya busana mampu milik, kontemporari dan berkualiti tinggi untuk golongan muda gemar pakaian harian yang praktikal.



“Daripada blaus ala Korea ke seluar palazzo dan skirt labuh berlisu, kita berhasrat menghasilkan lebih banyak lagi busana penuh gaya tanpa menjejaskan kualiti fabrik dan elemen kesopanan,” katanya.

Apa yang penting matlamat utama untuk menawan hati lebih ramai pembeli dan fashionista Malaysia dan akan terus mengutamakan pengguna.

Katanya, kaedah itu juga sekali gus menghapuskan kos peruncit pihak ketiga, pemborong dan orang tengah daripada proses pengeluaran produknya.

“Melalui penjualan terus kepada pengguna serta memastikan segala aspek pengaturan, pemasaran, pembungkusan dan penghantaran dilakukan secara dalaman, kami menjadikan rangkaian busana sangat mampu milik untuk pengguna,” katanya.

Selain itu, penjualan secara langsung di sosial media juga membolehkan produk terkini di pasarkan serta-merta, berinteraksi dengan mereka sekali gus melihat reaksi dan komen secara langsung.

Sepanjang dua tahun lalu, pihaknya mencapai pelbagai kejayaan termasuk peningkatan hasil jualan sebanyak 400 peratus dalam tempoh 12 bulan serta kejayaan mengumpul RM1.26 juta dalam pembiayaan awal bagi membantu pengembangan pasaran.

Kini, syarikat itu berusaha menambah kefahaman mengenai pasaran Malaysia dan bercadang untuk memasuki pasaran fesyen sopan di Indonesia, Singapura dan Brunei menjelang tahun depan.

© Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker