Haaland makan jantung, hati untuk kekal cergas

LONDON: Tiada apa yang tidak luar biasa mengenai penyerang muda Manchester City, Erling Haaland termasuk rekod jaringannya setakat ini musim ini.

Dalam dokumentari “The Big Decision” disiarkan baru-baru ini, yang memfokuskan kepada kerjaya baharu pemain bergelar ‘Android’ dari Nordic, penyerang berusia 22 tahun itu mendedahkan mengenai diet pemakanannya.

Dia percaya diet itu membantunya menjadi pemain yang disegani ketika ini, salah seorang daripada pemain bola sepak terbaik di planet Bumi.

Dalam dokumentari itu, yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube, pengacara berasa hairan apabila Haaland mengeluarkan pelbagai produk daging yang dibungkus.



“Tapi… adakah ini hati?” beliau bertanya kepada pemain bola sepak Norway itu. “Ya, itu adalah hati,” jawab Haaland sambil tersenyum.

Seperti yang diperkatakan di England, Haaland makan sekitar 6,000 kalori sehari untuk memastikan tubuhnya dalam keadaan terbaik.

“Anda tidak makan ini, tetapi saya mengambil berat mengenai menjaga tubuh badan saya.

“Saya fikir makan makanan berkualiti tempatan mungkin satu perkara yang paling penting. Orang kata daging tu teruk, tapi…. Yang mana satu? Daging yang anda beli di McDonald’s? Atau lembu tempatan yang makan rumput? Saya makan jantung dan hati.”



Haaland kemudian berbicara mengenai kepentingan menjaga rutin sehariannya. Warga Norway itu bercakap tentang sistem penapisan airnya dan menekankan kepentingan cahaya matahari.

Dia menjelaskan dia cuba berjemur sebaik sahaja bangun pagi selain menyebut mengenai irama sirkadian untuk mengawal corak tidur dan bangun pagi.

“Perkara pertama yang saya lakukan pada waktu pagi adalah mendapatkan cahaya matahari. Saya juga menapis air yang saya minum. Saya fikir ia boleh memberi manfaat yang besar untuk badan saya,” tambahnya.

Haaland sudah menjaringkan 15 gol dalam sembilan penampilan Liga Perdana Inggeris bersama City, jauh meninggalkan penjaring gol kedua terbanyak Harry Kane yang menyumbat lapan gol.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker