Indonesia akan siasat kes kecederaan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak
JAKARTA – Indonesia akan menyiasat kes kecederaan buah pinggang akut yang telah menyebabkan kematian lebih 20 kanak-kanak di ibu kotanya, Jakarta tahun ini, kata pihak berkuasa kesihatan hari ini.
Siasatan dibuat ketika pihak berkuasa di Gambia berkata, hampir 70 kanak-kanak mati akibat kecederaan buah pinggang akut selepas mengambil sirap parasetamol yang dijual di pasaran tempatan, untuk merawat demam.
Indonesia akan menyelaraskan tindakan dengan penyiasat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendapati tahap dietilena glikol dan etilena glikol ‘tidak boleh diterima’, yang boleh menjadi toksik, dalam empat produk yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals Ltd, yang berpangkalan di New Delhi.
Pengawal selia dadah Indonesia (BPOM) dalam satu kenyataan berkata, sirap itu tidak didaftarkan di negara itu.
Jurucakap kementerian kesihatan, Mohammad Syahril, memberitahu Reuters 131 kes kecederaan buah pinggang akut telah ditemui di seluruh negara sejak Januari, memetik data persatuan pediatrik negara (IDAI).
Jumlah kematian di seluruh negara masih dalam penelitian, katanya.
Syahril menambah, kes di Gambia tidak berkaitan dengan kes di Indonesia.
Secara berasingan, agensi kesihatan Jakarta berkata terdapat sejumlah 31 kes dilaporkan di bandar itu sejak Januari, di mana 68 peratus daripadanya telah membawa maut.
Kementerian kesihatan berkata, ia sedang berbincang dengan pakar dari WHO yang sedang menyiasat kes itu di Gambia dan ia telah membentuk pasukan dengan IDAI dan hospital berpangkalan di Jakarta untuk meneliti perkara itu.
Kementerian kesihatan berkata, penemuan awal menunjukkan potensi mabuk sebagai punca penyakit itu, tetapi tiada punca pasti ditemui setakat ini.
Kementerian berkata, penyelidikan lanjut diperlukan.
Pihak berkuasa India hari ini berkata, mereka mendapati 12 pelanggaran amalan baik di sebuah kilang Maiden dan menghentikan pengeluaran sirap batuk di kilang itu.